Isteri disimbah asid!
Suami yang dikahwini atas dasar cinta rupa-rupanya pendera. Ini cerita lama
dalam versi baru (dulu ada cerita suami disimbah asid). Semua ini mengingatkan
saya pada perbualan dengan seorang wanita suatu ketika dahulu.
"Entah kenapa, tiba-tiba dia jadi begini. Sepanjang
tiga tahun kami bercinta, tidak pula dia menunjukkan sebarang tanda-tanda yang
dia panas baran. Semuanya baik dan lembut belaka. Tapi tak sampai lima bulan
setelah berkahwin, baru saya tahu dia begitu panas baran orangnya," luah seorang isteri.
"Awak mungkin bercinta, tetapi tak kenal..." ujar saya.
"Tiga tahun bercinta masih tak kenal? Mustahil," balasnya.
"Kenal itu dengan akal dan hati.
Mungkin semasa tiga tahun awak berdua bercinta... kurang guna akan dan hati,
hanya guna emosi dan nafsu. "
"Akibatnya ini?"
"Ya, akibatnya ini, bercinta tanpa
kenal hati budi."
Begitulah antara
dialog yang pernah berlaku antara saya dengan seorang isteri yang didera suaminya.
Akibat cinta tanpa kenal dia menderita. Secara tabiinya, kita perlu kenal baru
cinta tetapi kini sudah ramai yang cinta baru kenal. Akibatnya timbullah
penyesalan yang tidak sudah-sudah. Akibat salah pilih, suami atau isteri yang
disangka boleh memberi bahagia, rupa-rupanya punca derita!
Tidak mengapa kalau
kita berkenal dahulu terus berkahwin dan kemudian cinta. Seperti Siti Khadijah
yang kenal kebaikan Rasulullah saw melalui orang kepercayaannya Maisarah
dahulu, terus meminang Rasulullah saw, berkahwin dan kemudian baru bercinta.
Untuk kenal orang yang baik, perlulah menerusi orang yang baik. Hanya orang
baik yang mengenal orang baik yang lain, seperti mana hanya jauhari mengenal
manikam.
Tidak mengapa
sekiranya perkahwinan tidak dimulakan oleh satu percintaan tetapi ia mesti
didahului oleh satu perkenalan. Apa yang perlu kita kenal? Tidak lain tidak
bukan, yang paling kita mesti kenal keseriusannya dalam beragama. Bila agama
kukuh, ertinya cintakan Allah dalam diri seseorang juga kukuh. Itulah modal
untuk membina kebahagiaan dalam rumah tangga.
Cinta Allah itu adalah sumber untuk mencintai segala dan semua. Iman
kepada Allah dan kasih-sayang sesama manusia sangat erat keterkaitannya. Ramai
pasangan suami isteri yang terlibat dengan perkahwinan yang tidak dimulakan
dengan cinta, berjaya juga membina kebahagiaan rumah tangga kerana kekukuhan
keduanya mencintai agama. Ini kerana perkahwinan itu sendiri telah memulakan
cinta suci mereka.
Cinta itu bukan tujuan, cinta hanya jalan. Bukan hanya ada satu
jalan untuk mencapai tujuan... ada berbagai jalan. Hakikat ini bukan menafikan
keperluan cinta untuk membina kebahagiaan rumah tangga, tetapi cinta itu bukan
yang pertama dan paling utama untuk mencapai rumah tangga yang bahagia.
Menurut ajaran Islam,
ada elemen-elemen yang lebih utama daripada cinta yang perlu dititik-beratkan
sebelum, semasa dan sepanjang perkahwinan. Perkara-perkara utama ini semuanya
dituntut oleh Allah untuk disempurnakan bagi memastikan cinta, kasih-sayang,
tanggung jawab, peranan dan tugasan rumah tangga itu sentiasa terbina di atas
tapak iman.
Diantara
prinsip-prinsip itu ialah niat, matlamat, perlaksanaan, modus operandi dan
natijah perkahwinan itu mestilah selaras dengan kehendak Allah. Oleh itu
apabila rumah-tangga bergoncang, telitilah semula niat berkahwin dahulu. Apakah
masih kerana Allah? Atau sudah tersasar tanpa sedar? Akibat hebatnya cabaran,
masalah dan godaan yang telah melanda alam rumah tangga solat lima waktu telah
terabai, pembaziran berleluasa, hiburan telah melampau dan pelbagai suruhan dan
tegahan Allah sudah dipinggirkan?
Kalau demikian, jangan tunggu lama-lama, kembalilah ke
pangkal jalan, katakana pada diri,"wahai
diri, kau berkahwin kerana Allah..." Insya-Allah, "talian
hayat" perkahwinan kita akan
tersambung semula dengan Allah. Hukum-hakam Allah akan berdaulat semula.
Insya-Allah, ketenangan akan menjelma semula.
Selama mana prinsip-prinsip itu dipatuhi, selagi itulah Allah
menjamin cinta di antara pasangan suami isteri itu pasti tumbuh, subur dan
berbunga sekalipun mereka tidak pernah bercinta sebelum berkahwin. Dan bagi
yang telah berkahwin pula (tidak kira berapa lama), syariat Allah ini jika
dijadikan rujukan bersama antara suami isteri, insya-Allah rumah tangga akan
kembali tenang walaupun pasti ada pergolakan. Hati-hati yang mengingati yang SATU akan
mudah bersatu!
Mungkin terlalu ideal atau terlalu jauh untuk melihat tradisi
perkahwinan Rasulullah s.a.w dan para Sahabatnya yang serba indah. Tetapi
cukuplah kita mengimbau trend perkahwinan masyarakat Melayu Islam satu ketika dahulu yang
menyaksikan ramai berkahwin atas pilihan ibu bapa (yang mengenal bakal
menantunya) dan perkahwinan itu ternyata berjaya.
Tradisi itu berjalan
dengan baik dan teratur kerana pada waktu itu anak-anak sudah dididik dengan
asas agama dan akhlak yang teguh serta patuh kepada ibu bapa. Pada waktu itu
anak-anak yang baik akan mematuhi perintah ibu-bapa yang baik yang memilih
orang yang baik untuk menjadi suami atau isteri anak mereka. Sementara ibu bapa
pula memang sedia mewarisi sifat-sifat mulia daripada generasi sebelumnya yang
juga mementingkan kepentingan agama dan akhlak.
Kita akan dibantu oleh
niat yang tulus sebelum berkahwin dahulu. Jika tulus pasti lurus walaupun
kekadang bengkak-bengkok juga di pertengahannya. Tetapi jika awal-awal sudah
bengkok, rumah-tangga akan semakin tersasar dan sukar sekali mencari jalan
kembali.
Oleh kerana itu, semasa memilih calon suami atau isteri
mestilah berdasarkan panduan yang diberikan oleh Nabi Muhammad saw melalui
sabdanya, "Dikahwini
wanita itu atas empat perkara: harta, keturunan, rupa dan agama. Kahwinilah
atas dasar agama nescaya kamu akan mendapat kebajikan."
Hendak membuat pilihan kita mesti kenal bagaimana tahap beragamanya, bila sudah
kenal, berkahwinlah. Insya-Allah, nanti pasti ada cinta. Bukan cinta, kemudian
berkahwin selepas itu baru kenal...
Eh, ini pelik? Tidak. Ia praktikal dan realistik dulu, kini
dan akan datang. Lihat sahaja gambaran kenal baru cinta dalam filem "Bila Cinta Bertasbih". Jika ia mampu digambarkan melalui filem, ia mampu juga
mampu direalisasikan dalam kehidupan. Dalam filem itu jelas digambarkan
bagaimana orang yang baik melamar orang yang baik untuk orang yang baik.
Sungguh indah bila cinta bertasbih (memuji Allah). Yakni bila cinta tunduk
kepada kehendak Allah. Tetapi kini terbalik, masyarakat begitu hodoh jadinya
apabila manusia bertasbihkan cinta – kehendak Allah tunduk kepada cinta!
Dalam masyarakat yang sangat memandang tinggi nilai akhlak
dan budi, perkahwinan melalui'orang perantaraan'
(match maker) yang juga dipercayai kesolehannya akan mudah dilaksanakan.
Dan perkahwinan tanpa didahului cinta sudah menjadi perkara biasa pada ketika
itu.
Namun ini tidaklah menafikan perkara-perkara yang dibolehkan
dan memang dibenarkan oleh syariat untuk dilakukan sebelum sesuatu perkahwinan
dipersetujui. Misalnya seseorang dibolehkan melihat rupa calon isteri atau
suami, menyelidiki maklumat tentang keperibadian dan lain-lain latar belakang
calon. Namun fokusnya tetap "mengenal" agama bakal calon.
Itu semua dapat dibuat dengan adanya pengaturan orang tengah
– sama ada terdiri daripada keluarga atau teman-teman yang rapat. Tegasnya,
tidak payahlah seseorang itu sendiri bersusah payah mendapatkan "maklumat" tentang calon suami atau isteri melalui cara percintaan yang melampaui
batas. Nanti bukan maklumat yang dapat, tapi maksiat.
Bayangkan betapa indahnya saat pertemuan dua mempelai yang
dipertemukan atas keredaan Allah serta restu ibu bapa dan masyarakatnya. Thrill dan
suasana suspens sudah semestinya ada yang mana ini menambahkan lagi keindahan
pertemuan pertama.
Dan bagi yang sudah
lama berumah tangga tidak hairanlah kalau suasana bulan madu akan lebih panjang
malah akan terus berkekalan sepanjang perkahwinan. Justeru dalam perlaksanaan
rumah tangga Islam sudah ada tip-tip tertentu yang jika diamalkan akan
mengekalkan suasana kemanisannya.
Antaranya, isteri
sentiasa mengekalkan perasaan malu di hadapan suami, isteri dan suami sentiasa
berhias dan memakai haruman, pandangan kasih oleh suami, pandangan cinta oleh
isteri, adab serta seni-seni dalam hubungan seks dan lain-lain perkara yang
banyak ditulis dalam hadis dan kitab-kitab para ulama muktabar.
Cinta sebelum perkahwinan tidak mempunyai keistimewaan dan 'lesen' seperti
cinta selepas perkahwinan. Ruangnya begitu terhad untuk membuktikan kecintaan.
Ini kerana Allah sangat melarang zina malah segala perbuatan yang boleh
menghampirinya seperti bergaul bebas, berkhalwat, memandang dengan nafsu,
bersenda gurau dan sebagainya.
Walhal cinta sebelum
perkahwinan sangat terdedah kepada perbuatan menghampiri zina sama ada secara
lisan atau perbuatan, disengajakan atau kerana tidak mampu menahan godaan.
Ketika itulah cinta mula dinodai oleh nafsu. Fitrah hati (cinta dan kasih
sayang) sudah bertukar menjadi kehendak biologi (seks) semata-mata.
Apabila seseorang
mencintai kekasihnya melebihi cintakan Allah, maka mudah hukum Allah dilanggar.
Kerana kekasih, Allah tersisih. Inilah fenomena lumrah dalam masyarakat hari
ini terutamanya di kalangan remaja. Maruah diri, nama baik keluarga, kesucian
syariat rela dipertaruhkan untuk mendapatkan cinta.
Malangnya cinta yang
diburu adalah cinta palsu. Yang mana keindahannya sementara dan menipu.
Seseorang dikira sudah bernasib baik jika cinta itu sempat dibawa menjejaki
gerbang perkahwinan walaupun kemudiannya tidak indah dan akhirnya berpisah.
Namun kajian menunjukkan cinta yang kotor patah di tengah jalan. Tidak sempat
bermahtangga cinta telah berkecai.
Dan bagi yang sempat
berumah tangga ramai pasangan yang bercerai-berai walaupun mereka telah melalui
saat-saat indah di alam percintaan. Tetapi yang paling ramai ialah mereka yang
hanya mampu mempertahankan perkahwinan tetapi gagal mengekalkan keindahan cinta
di dalamnya. Mereka yang kecewa ini kerap mengungkapkan, perkahwinan adalah
pusara percintaan!
Terbukti tidak ada
keindahan dengan mengetepikan Tuhan! Credit to:http://www.iluvislam.com/